| 1 comments ]





Sukacita dimaklumkan bahawa pihak DPM [MAQAZ] Shoubra di bawah Unit Perumahan akan mengadakan Majlis Korban bersempena dengan kedatangan Aidiladha 1430 H akan datang. Justeru, pihak penganjur membuka tempahan kepada mana-mana individu yang berminat untuk mengambil bahagian ;..


- Lembu @ Unta 1 bahagian : LE 750
- Khoruf seekor : LE 850
- Kambing seekor : LE 500

Tarikh tutup tempahan pada 20 November 2009

Untuk tempahan sila hubungi:

Us Zul Fakaar Mat Ghani +20114563447


Anjuran : Unit Perumahan DPM [MAQAZ] Shoubra 09/10

# JUGA TERBUKA KEPADA SEMUA WARGA MALAYSIA #

| 1 comments ]

Bagi sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu ‘puasa enam’. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan.
Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi s.a.w itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat.

Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih).”

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/

| 0 comments ]

Assalamualaikum wm wb,

Segala puja & puji tertentu hanya layak dihadapkan ke-hadrat AlLah, Rabb semua Alam. Selawat dan salam hanya layak untuk para anbiya, hamba AlLah yang paling setia taatnya, tidak berbelah & berbahagi, semata-mata hidup & matinya untuk mengabdikan diri buat IlLahi. Salam & deretan doa buat mereka yang sudi mengikuti jejak nabi, dulu, kini, dan selamanya

Anakanda yang jauh,

Eidil Fitri, kedatangannya pada tahun ini tentunya menawarkan satu pengalaman yang berbeza buat diri kita sekeluarga. Anakanda berada di perantauan, jauh pada pandangan mata tapi jauhnya jarak geografi tidak akan berdaya memadamkan keberadaan anakanda dalam hati, ayahanda dan bonda serta adik-adik di bumi malaysia ini. Ya, satu kenyataan yang tidak sesiapa mampu menafikan, di mana pun kita menyambut eidil fitri, situasi dan kondisinya sama sahaja, kerana kita bertakbir dan bertasbih menggunakan lafaz yang sama, memuja dan memuji AlLah yang sama, mengadap AlLah yang sama, sujud merapatkan dahi dengan penh rasa hina diri, menyatakan belitan masalah yang membelenggu diri kepada AlLah yang sama, AlLahu Akbar WallilLahi hamd.

Anakanda yang hebat,

Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain telah mengundangkan rasa hebat apabila kita membaca dan mengikuti sari perjalanan hidup mereka. Rasanya tak tertanding oleh kita kehebatan yang AlLah, telah berikan kepada mereka. Namun, cuba kita fikiri sejenak dengan mata hati dan mata akal yang terbuka waras, adakah kehebatan yang AlLah kurniakan kepada mereka itu, tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka? Adakah mereka hanya tidur bangun, tidur bangun, tidur bangun, akhirnya mereka jadi hebat? Atau di sana ada usaha yang tidak terjumlah yang mereka usahakan, atau di sana ada kegigihan yang tidak bertepi yang mereka lalui, atau di sana ada ketekunan yang meninggi yang mereka lalui, jawaplah dengan hati yang mengerti. Adakah kalau sekiranya kita juga cuba buat seperti mereka(Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Ku Pulau Manis, Tok Guru Nik Aziz dan ulama-ulama yang lain) pada hari ini, AlLah itu maha luas kurniaannya. Ilmu-Nya tidak akan terjejas sedikitpun jika sedikit ilmu yang DIA pernah berikan kepada mereka yang tersebut, juga dipinjamkan kepada kita.

Anakanda, yang sebagai pewaris anbiya,

Tok Kenali merantau dari bumi Kelantan ini menuju bumi anbiya dan menetap di sana berbelas-belas tahun lamnya dengan hanya berbekalkan belasan ringgit sahaja daripada ibunya. Dalam masa kembaraannya mencari ilmu IlLahi itu, tak ada dalam hatinya rasa nak balik sesekali ke bumi tanah lahirnya, kerana dia sedar dia sedang mencari ilmu, bukan pergi melancong ke sana, sekejap nak pergi sekejap nak balik lagi. Sekarang anakanda sedang berada di bumi anbiya, sama seperti mereka yang tersebut di atas, lalu manfaatkan peluang, ruang, keadaan yang ada di sana yang tentunya tidak ada di bumi malaysia ini, untuk menggali, menyimpan, dan mengumpul ilmu itu. Sedarilah dunia kita, masyarakat kita, orang kita, terlalu dahagakan bimbingan untuk mengenal AlLah. Seterusnya menjadi hamba AlLah yang diredhai-Nya.

Selamat eidil fitri buat semua mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris ilmu nabi.



| 0 comments ]

Antara hikmat yang dapat dirasai dengan mengeluarkan zakat fitrah ialah :

1. Dapat berkongsi bersama kegembiraan dalam menyambut hari raya antara golongan berkemampuan dengan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan.

2. Ia merupakan antara ungkapan syukur atas nikmat Allah yang dilimpahkan kepada orang yang berpuasa.

3. Dapat menutupi kekurangan yang berlaku pada bulan Ramadhan dan sebagai penyucian terhadap ibadat puasa sehingga ia diterima oleh Allah.

4. Membersihkan diri daripada sifat bakhil bagi harta milik dirinya sendiri dan tamak terhadap harta milik orang lain.

5. Menjalin ikatan persaudaraan yang lebih rapat dengan membentuk sikap penyayang di kalangan umat Islam.


http://epondok.wordpress.com/2009/09/18/hikmat-zakat-fitrah/

| 0 comments ]

Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil Lailatul Qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan. Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, super market, pasa raya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat Bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda Bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda Bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam Lailatul Qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada Bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan Malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda Bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan bagi umat lain.


SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan Malam al-Qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan Malam al-Qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan Malam al-Qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam Bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang Malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan Malam al-Qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari Malam al-Qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya Malam al-Qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan Malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan Malam al-Qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat.

Rujukan

1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr.


Sumber/petikan: http://epondok.wordpress.com/2009/09/10/4-sebab-sembunyi-lailatul-qadar/